Beli kereta? Perkara-perkara yang mesti masuk di dalam pertimbangan!


Pada pendapat saya, memiliki kereta telah menjadi satu keperluan, dan bukan lagi kehendak, lebih-lebih lagi di Malaysia, di mana sistem pengangkutan awam yang dilihat masih kurang efisien. Namun, apabila tiba masanya anda perlu membeli kereta, ada beberapa faktor atau pembolehubah yang anda perlu masukkan di dalam penilaian dan pertimbangan anda. Kesilapan membuat penilaian dan keputusan, akan menjebakkan diri anda ke dalam situasi yang mungkin boleh mendera jiwa anda sendiri!. Jadi, bagaimana untuk memastikan anda membuat keputusan tepat? Ikuti panduan-panduan berikut:



1. Lihat kemampuan kewangan


Ada sesetengah pembeli, mereka meletakkan kemampuan kewangan ditempat kedua, manakala memenuhi kehendak gaya hidup ditangga pertama. Itu terpulang kepada pilihan masing-masing. Namun, kita tidak seharusnya terjerat dengan nafsu sehingga mengabaikan banyak lagi keperluan-keperluan lain yang lebih kritikal. Maka, saya menyarankan cuba memilih kereta mengikut kemampuan, dan disyorkan bayaran bulanan ansuran kereta tidak melebihi 30% daripada gaji bersih bulanan anda (gaji lepas tolak EPF, SOCSO, cukai pendapatan). Baki 70% lagi perlu digunakan untuk keperluan-keperluan lain yang lebih kritikal iaitu ansuran rumah, makanan, kesihatan dan pendidikan anak-anak.



2. Beli kereta second-hand


Sekiranya anda kurang berkemampuan memiliki kereta baru, tidak salah untuk memilih kereta second hand, malah di dalam sesetengah kes, ia merupakan pilihan yang lebih bijak. Ramai orang berpendapat, beli second-hand merugikan kerana kos penyelenggaraan yang tinggi. Ada benarnya, sekiranya anda membandingkannya dengan kereta baru. Namun begitu, sedarkah anda bahawa terdapat lambakan kereta second hand di pasaran? Maka, anda mempunyai pilihan yang banyak untuk memilih kereta second hand yang terbaik. Malah, ada sesetengah kereta second hand diselenggara dengan sangat baik oleh pemilik asal. Maka, anda perlu rajin membuat tinjauan, contohnya; menyemak dengan teliti rekod penyelenggaran kereta, jarak perjalanan yang dilalui, rekod kemalangan, saman dan sebagainya. Faktor-faktor ini mesti berada di dalam pertimbangan anda!



3. Cari bank yang menawarkan faedah yang rendah


Setiap bank menawarkan kadar faedah yang berbeza, namun masih tertakluk kepada garispaduan yang ditetapkan oleh bank negara. Anda perlu rajin bertanya setiap bank, dan jangan menyerahkan sepenuhnya urusan ini kepada wakil jualan kereta sahaja. Kerana, mungkin wakil jualan tersebut mewakili bank-bank tertentu yang menawarkan faedah yang lebih tinggi.


4. Elakkan berhutang pada tahap maksimum


Di dalam hidup, kita kena belajar untuk menjadi perancang kewangan yang terbaik. Sekiranya, kita mempunyai kemampuan kewangan yang baik, cuba elakkan berhutang pada tahan maksimum atau hampir maksimum. Maksudnya, usahakan dahulu untuk mempunyai deposit sekurang-kurangnya 30% daripada nilai kereta, barulah membuat keputusan membeli kereta. Selain itu, elakkan berhutang sehingga 7 hingga 9 tahun!. Hutang yang terlalu besar dan dalam tempoh pembiayaan balik yang panjang, akan lebih meningkatkan faedah yang anda bayar ke bank. Persoalannya, kenapa anda hendak mengkayakan bank yang telah sedia kaya? Lebih bijak sekiranya anda mengkayakan diri sendiri, bukan! Jadi, rancanglah perbelanjaan kewangan anda dengan baik.


Kesimpulannya, kereta itu adalah satu keperluan. Tetapi, anda perlu menjadi pembeli yang bijak dengan memikirkan sedalam-dalamnya beberapa faktor terpenting di dalam pembelian kereta sebelum membuat keputusan akhir.


3 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua